suria

Wahid Omar Dilantik Naib Canselor UTM Mulai 1 September

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan pada Khamis mengumumkan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Wahid Omar dilantik sebagai Naib Canselor baru universiti itu.

Pelantikan untuk tempoh tiga tahun itu, berkuatkuasa mulai 1 September hingga 31 Ogos 2016.

Menurut kenyataan UTM di sini Khamis, Wahid dipilih selepas mengambil kira pengalaman akademik, penyelidikan dan pentadbiran beliau di UTM, selain mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan, seiring dengan portfolio UTM sebagai universiti berstatus penyelidikan berteraskan kejuruteraan.

"Pelantikan ini diharap dapat membawa UTM ke peringkat lebih tinggi terutamanya bagi meneruskan pelan pembangunan UTM dari segi penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan kualiti tenaga akademik dan mahasiswa," menurut kenyataan itu.

Wahid menggantikan Prof Datuk Dr Zaini Ujang yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan.

Wahid dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan struktur dari University of Birmingham, United Kingdom (UK) selain mempunyai ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan jambatan dari University of Surrey dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Strathclyde, masing-masing di UK.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Kursus Ijazah Lanjutan dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), masing-masing di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zaini yang dilantik sebagai Naib Canselor UTM sejak 1 Oktober 2008, sehingga berjaya meletakkan asas kukuh kepada UTM untuk menghadapi cabaran mendatang. - BERNAMA

Artikel Lain