suria

40 Anggota Wanita Umno Tawar Diri Bertanding Exco

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 anggota Pergerakan Wanita Umno setakat ini telah menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Exco pada pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu Oktober ini.

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata mereka termasuk anggota Exco bagi sesi 2008-2011 yang akan mempertahankan jawatan masing-masing.

Pertandingan jawatan Ketua Wanita setakat ini akan membabitkan penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan bekas ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Sementara jawatan Naib Ketua Wanita pula setakat ini bakal menyaksikan pertandingan antara Exco Wanita Umno Kedah Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Jawatan naib ketua sebelum ini disandang oleh Datuk Kamalia Ibrahim, yang dipecat dari parti setelah bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lepas.

Hamidah berkata antara syarat untuk mereka yang ingin bertanding jawatan dalam pergerakan itu mestilah menjadi anggota Umno lebih daripada tiga tahun.

Tambahnya, pergerakan itu kini mempunyai lebih tiga juta anggota di seluruh negara. Hamidah juga berkata beliau tidak akan bertanding jawatan Exco pada pemilihan kali ini.

Semalam, Bernama melaporkan Hamidah akan mempertahan jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng pada pemilihan kali ini.

Tarikh penamaan calon yang ingin bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diadakan serentak pada 21 September manakala tarikh pemilihan bagi sayap-sayap ditetapkan pada 12 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Lain