suria

Wanita Umno Akan Pilih Calon Untuk Bertanding MT

KEPALA BATAS: Wanita Umno akan mengadakan mesyuarat Exco pergerakan itu pada 12 September ini untuk memilih calon bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, senarai calon Wanita yang bakal diketengah untuk jawatan itu diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

"Selepas mengambil kira semua pandangan dalam mesyuarat itu, saya akan umumkan calon daripada Wanita Umno yang akan bertanding sebagai MT sebelum 21 September ini.

"Memang susah untuk Wanita nak menang sebagai anggota MT, kita ada calon Wanita yang mempunyai kelayakan dan kepimpinan seperti dalam kalangan Exco dan Ketua Wanita negeri tetapi mereka enggan menawarkan diri kerana mereka rasa susah sebab Wanita tidak diberi peluang untuk menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya dan Sambutan Merdeka Wanita Umno Pulau Pinang di pekarangan Wisma Umno Kepala Batas di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Zabariah Abdul Wahab dan Anggota Parlimen Kepala Batas Reezal Merican, Ketua Wanita bahagian serta Exco Wanita Umno.

Shahrizat berkata setakat ini, dua calon yang menawarkan diri ialah Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman dan Exco Wanita Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata, visi untuk mempertahan kerusi Ketua Wanita adalah bagi mengarusperdanakan kepimpinan pergerakan berkenaan dengan mengetengahkan calon bagi menduduki kerusi MT Umno.

"Saya harap pada pemilihan kali ini ada perubahan kerana perwakilan Wanita ramai dan kedua, kaum lelaki juga akan memberi undi kepada calon Wanita yang bertanding nanti.

"Saya juga minta calon Wanita diberi peluang menganggotai MT kerana itu adalah satu cara untuk membolehkan Wanita mendapat tempat dan memberikan pendapat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain