suria

Ahmad Said Buat Laporan Polis Isu Facebook Palsu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membuat laporan polis berhubung laman Facebook palsu yang menggunakan identiti beliau sebagai pemilik.

Laporan dibuat kira-kira pukul 10.15 pagi oleh Setiausaha Akhbar beliau Rosli Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Menurut Rosli, Facebook yang dipalsukan itu lebih kepada penyamaran dan segala maklumat yang dimuat naik dalam akaun itu tidak benar dan lebih parah ia menimbulkan kekeliruan rakyat di negeri ini.

Rosli memberi contoh pengumuman cuti tambahan selepas cuti Hari Malaysia yang dimuat dalam Facebook itu dan dikesan pihak pejabat Menteri Besar Ahad lalu kira-kira pukul 5.38 petang.

"Perkara ini tidak benar sama sekali dan mereka yang tidak bertanggungjawab itu perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Penyamaran diri sebagai menteri besar di laman sosial ini dan fan page Facebook tersebut telah memanipulasi maklumat pentadbiran kerajaan sehingga mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurutnya, selain laporan polis, pihaknya juga akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Rosli berkata sepatutnya pengumuman cuti dibuat oleh setiausaha kerajaan negeri.

Bayangkan akibatnya jika pengikut Facebook mengambil serius status itu dan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita mempuyai akaun Facebook menteri besar yang asal namun pihak tidak bertanggungjawab itu mewujudkan page itu dengan URL yang berbeza dan telah disalahguna," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan