suria

Artis Jadi 'Basi' Gara-Gara Media Sosial

Anuar Zain mampu menjaga eksklusifnya tanpa bergantung kepada media sosial.
Anuar Zain mampu menjaga eksklusifnya tanpa bergantung kepada media sosial.
Anuar Zain mampu menjaga eksklusifnya tanpa bergantung kepada media sosial.

ADOIII

“Artis di Malaysia ni ramai peminat santgat ke?” Seorang kawan bertanya perkara itu kepada saya.

Saya pun jawab, mereka memang ramai peminat tetapi peminat sekarang sudah tidak teruja lagi dengan artis. Kalau berselisih bahu pun, mereka akan buat tak tahu. Pendek kata, artis kita sudah ‘basi’ di mata mereka.

Kawan saya ni pun terkejut mendengar kata-kata saya itu dan bertanya kenapa ia terjadi sedemikian?

Teorinya mudah sahaja. Sebelum adanya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta laman video Keek, masyarakat hanya bergantung kepada media cetak untuk mengetahui perkembangan artis.

Sebab itulah suatu ketika dahulu majalah hiburan tempatan tinggi jualannya.

Majalah Mangga pada tahun 1998 pernah mencatat jualan 200,000 naskhah bagi satu keluaran.

Majalah URTV juga memperoleh jualan 150,000 naskhah dengan kutipan iklan yang tinggi.

Tetapi sekarang, semua akhbar dan majalah menunjukkan penurunan mendadak.

Majalah hiburan popular pun paling tinggi terjual hanyalah 60,000 naskhah sahaja.

Puncanya keterujaan pembaca untuk mendapatkan majalah hiburan sudah tiada kerana kewujudan media sosial yang membolehkan peminat berinteraksi secara terus dengan artis yang mendorong kepada permasalahan itu.

Sebelum adanya media sosial, golongan artis menjadi begitu eksklusif. Peminat di luar sana bergantung harap kepada majalah dan akhbar untuk mengetahui perkembangan artis mereka.

Saya pernah menyaksikan bagaimana pintu pada sebuah pentas roboh dikerjakan peminat remaja yang ketika itu menggilai kumpulan New Boyz khususnya Tomok. Situasi itu menyebabkan pengawal keselamatan terpaksa ‘melarikan’ kumpulan itu untuk keselamatan mereka.

Saya juga menyaksikan sendiri bagaimana Tomok terpaksa mengambil seguni surat di pejabat pos Cheras yang dikirimkan peminat-peminatnya.

Kata Tomok, posmen sudah tak larat nak hantar surat ke rumahnya selain peti surat juga sudah dipecahkan.

Semuanya gara-gara keterujaan mereka kepada artis dan hanya cara itu sahajalah yang dapat mereka lakukan untuk berhubung.

Tetapi sekarang ini kegilaan itu sudah tidak wujud kerana adanya media sosial yang merapatkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Kesannya seperti yang saya katakan, artis kita akan menjadi ‘basi’. Apabila keterujaan sudah tiada, ia secara tidak langsung akan menyebabkan populariti seseorang artis itu akan menurun.

Apabila Anuar Zain mengambil pendekatan untuk tidak memaklumkan aktivitinya di laman sosial, ia memperlihatkan penyanyi tersebut mampu menjaga eksklusifnya sendiri.

Sebab itulah setiap kali Anuar Zain muncul di mana-mana acara, dia akan mendapat sambutan yang luar biasa.

Lebih malang lagi apabila media sosial ini disalahgunakan oleh artis dengan memuat naik gambar-gambar yang tidak senonoh selain kesukaan mereka mengemas kini dengan kata-kata kurang manis.

Ia turut menjadi faktor kepada keterujaan tersebut hilang selain memberi ruang kepada peminat mengukur mentaliti mereka.

Jadi, adalah lebih baik artis-artis pada hari ini meminimumkan penggunaan media sosial untuk menjaga eksklusif masing-masing.

Ada seorang teman memberi tahu saya dia pernah melibat bagaimana dua orang artis popular ini dilayan peminat ketika mereka berjalan sama.

Tiba di satu lokasi, hanya artis ‘A’ sahaja yang dikerumuni berbanding artis ‘B’ walaupun dia antara bintang popular.

Akhirnya artis ‘B’ itu berasa malu dan terasa hati dengan situasi berkenaan.

Benarlah pendapat saya, kalau artis itu sudah ‘basi’ begitulah jadinya.

NIEZAM: Teringat kisah seorang tukang masak jamu ubi rebus tetapi berserta kelapa parut yang sudah basi.

Artikel Lain