Azman Shah Omar ShahKUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Datuk Azman Shah Omar Shah pada Sabtu turut mendaftarkan diri untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia.Beliau yang juga bekas anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sewaktu era Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerajui pergerakan itu merupakan calon yang ke-39 mendaftarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut. Peraturan baru pemilihan Umno tidak lagi memerlukan seseorang calon itu melalui proses pencalonan tetapi sekadar mendaftarkan diri dan memenuhi syarat kelayakan minima yang ditetapkan.Pendaftaran untuk semua 30 jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti itu telahpun ditutup jam 5 petang Sabtu.Azman, 53, juga pernah menjadi ketua pemuda Bahagian Jelutong, Pulau Pinang dan kemudian sebagai timbalan ketua Umno bahagian yang sama.Azman memberi tiga sebab utama mengapa beliau menawarkan diri.Pertama, katanya, proses sistem pemilihan baru Umno itu sendiri perlu diuji keberkesanannya dan ia hanya dapat diuji melalui proses pertandingan.Kedua, katanya lagi, ahli-ahli biasa Umno di peringkat cawangan dan bahagian perlu diberi pilihan dan alternatif untuk membuat keputusan secara bebas maka barulah proses demokrasi dan perjuangan boleh terus hidup dan segar.Menurut beliau, sebab ketiga ialah calon sepertinya yang tidak dibebankan dengan tanggungjawab di peringkat nasional dan bahagian buat masa ini jika terpilih, mampu memberikan sepenuh perhatian dan komitmen untuk membantu presiden dan juga parti menentukan halatuju baru dan masa depan Umno agar ia terus relevan kepada ahli dan juga rakyat jelata amnya.Kata Azman, pengalaman yang telah diperolehinya selaku memimpin parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional merupakan panduan berguna kepadanya untuk digunakan sebagai aset dalam memperkukuhkan dasar parti pada masa depan.