Khalid Abu Bakar. Foto AZMAN GHANI / THE STARKUALA LUMPUR: Sama ada abu mayat atau memorabilia Chin Peng, kedua-duanya tidak akan dibenarkan masuk ke dalam negara, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.Pendirian Khalid itu bagaimanapun bertentangan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberitahu kepada para pemberita di Parlimen pada Rabu bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa daripada membawa abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM). Khalid berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba untuk menghidupkan kembali pergerakan komunis di negara ini, termasuk membawa masuk memorabilia Chin Peng.Mengulas mengenai penahanan dua lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa, Khalid berkata, polis merampas beberapa video cakera padat (VCD) dan bahan bacaan berkaitan Chin Peng."Membawa barang-barang seperti itu masuk ke negara ini adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya pada sidang media sempena perjumpaan dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) di Wisma Pertahanan pada Rabu.Beliau menambah bahawa polis turut membuat penahanan yang serupa di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini."Ia bukan pertama kali pihak tertentu cuba untuk menyeludup masuk barangan Chin Peng ke dalam negara."Beginilah saya katakan lagi, Chin Peng bukan warganegara Malaysia, malah dia seorang pengkhianat. Mayat atau abu mayat atau memorabilia dia tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini," tegas Khalid.