suria

Guan Eng Akui Shahrizat Mampu Tarik Sokongan Wanita

Lim Guan Eng (kiri). Foto AZMAN GHANI / THE STAR
Lim Guan Eng (kiri). Foto AZMAN GHANI / THE STAR
Lim Guan Eng (kiri). Foto AZMAN GHANI / THE STAR

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno kerana berjaya mengekalkan sokongan kaum wanita kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengakui pakatan pembangkang masih ketinggalan serta gagal menarik sokongan kaum wanita berbanding BN.

"Kekuatan Umno adalah dalam menarik sokongan golongan wanita...bukan (kekuatan) BN.

"Kekuatan Umno terletak di kaum ibu. Itulah sebabnya (Datuk Seri) Shahrizat begitu kuat sungguhpun terpalit dengan skandal NFC. (Datuk Seri) Azalina (Othman Said) pun tak berani bertanding," katanya ketika sidang media pada Kongres Khas DAP di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ucapannya sewaktu perasmian kongres berkenaan yang menyasarkan untuk menjadikan DAP sebagai parti pilihan wanita.

Katanya, tanpa sokongan wanita, pakatan pembangkang tidak akan berjaya mencapai kemenangan terutama dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau memberi sokongan terbuka kepada Shahrizat yang bakal berhadapan dengan saingan tiga penjuru pada pemilihan Ketua Wanita Umno Oktober ini, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Kita harap Shahrizat jangan kalah. Tapi itu terserah kepada ahli Umno...saya tak mahu campur tangan dengan hal parti lain," katanya.

Mengulas lanjut mengenai matlamat untuk menarik sokongan wanita, Lim berkata DAP perlu lebih menyerlah di kalangan wanita terutamanya mengenai tawaran untuk golongan itu.

"Mungkin kerana selama ini peluang yang diberikan DAP kepada kaum ibu tidak menonjol. Jadi kita perlu tonjolkan bahawa memang ada peluang untuk wanita.

"Kita perlu paparkan dasar-dasar untuk wanita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain