suria

163 Laman Web Iklan Produk Kesihatan Tidak Berdaftar Ditutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 163 laman web yang dikesan mengiklan dan menjual produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan telah disekat dan ditutup pada Jun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata laman web berkenaan dikesan melalui operasi bersepadu melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Jumlah laman web yang ditutup itu juga meningkat apabila sebanyak 99 laman web ditutup dalam operasi bersepadu yang sama dijalankan pada September hingga Oktober tahun lepas.

"Operasi ini juga melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dari lebih 100 negara di seluruh dunia dan dikoordinasikan oleh Interpol," katanya menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen di sini, Khamis.

Liang bertanyakan usaha yang diambil kementerian supaya ubat yang diharamkan tidak mudah diakses melalui laman web oleh kalangan orang awam.

Dr Subramaniam berkata di samping operasi berkala itu, kementerian sentiasa memantau kewujudan laman web dan laman sosial yang melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan dari segi penjualan dan pengiklanan.

"Ini dilakukan bagi melindungi pengguna daripada terjebak dan percaya kepada promosi-promosi dan iklan-iklan yang kebanyakkannya sengaja direka tanpa sebarang asas dan bukti saintifik," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,153 permohonan iklan diterima oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dan daripada jumlah itu, hanya 1,045 permohonan diluluskan.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama, sebanyak 94 surat amaran dikeluarkan kepada syarikat dan penerbit pengiklanan yang dikesan melanggar Akta Ubat (Iklan dan Jualan ) 1956. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain