suria

23 Pengawal Keselamatan Warga Nepal Ditahan Di Pusat Beli-Belah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 pengawal keselamatan warga Nepal ditahan Jabatan Imigresen Putrajaya dalam satu operasi di sebuah pusat beli-belah di sini Khamis atas pelbagai kesalahan.

Operasi sejam bermula pukul 10 pagi itu dianggotai sembilan pegawai Imigresen dan empat pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Masih lengkap beruniform keselamatan dan memegang 'walkie talkie', kesemua pengawal keselamatan berumur antara 20 dan 40 tahun itu dibawa menaiki dua van Imigresen untuk ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Putrajaya Mohd Izzat Mohd Jamil berkata mereka ditahan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah dan tinggal melebihi tempoh.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati dokumen pengenalan diri mereka disimpan oleh majikannya atas beberapa sebab.

"Namun kita tetap akan menyiasat majikan yang memegang dokumen mereka dan tindakan undang-undang boleh dikenakan jika majikan melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita selepas operasi itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain