suria

Umno Dicadang Wujud Mekanisme Untuk Calon Kurang Dikenali Berkempen

Mohd Rafiq
Mohd Rafiq
Mohd Rafiq

KUALA LUMPUR: Umno dicadang mewujudkan mekanisme khas untuk calon kurang dikenali atau 'underdog' berkempen pada pemilihan parti 12 dan 19 Oktober ini supaya lebih dikenali perwakilan.

Beberapa calon Exco Pergerakan Pemuda memberitahu Bernama mekanisme itu perlu bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mendampingi perwakilan memandangkan mereka tiada platform khusus untuk membantu mereka berkempen.

Ketika ini rata-rata calon bukan 'underdog' dikenali perwakilan menerusi jawatan dan penglibatan mereka di dalam kerajaan, badan berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain lagi.

Ini sekali gus seolah-olah meletakkan calon 'underdog' ke belakang dari carta pemilihan di mata perwakilan melainkan calon tersebut dikenali menerusi rakan-rakan, media sosial dan sebagainya.

Mohd Rafiq Naizamohideen, 27, calon Exco Pergerakan Pemuda termuda dan juga tunggal dari Melaka mencadangkan Umno mewujudkan kerjasama dengan media cetak dan elektronik untuk siaran slot khas kepada calon yang kurang dikenali.

"Mungkin dengan cara itu ia lebih adil. Kaedah promosi calon perlu diperbaiki. Ketika ini, sesi pengenalan calon yang dijalankan ini bagus cuma agak kelam kabut memandangkan ia baru diperkenalkan.

"Mekanisme (cadangan) itu bagi saya mampu membantu menerangkan apa yang perlu dibuat untuk masa depan Umno dan bukan bercerita mengenai sejarah parti sahaja," katanya.

Seorang lagi calon, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi, 38, memberitahu parti perlu mewujudkan mekanisme khas tersebut supaya hanya calon berkualiti mampu diketengahkan.

"Dulu kita pentingkan kuantiti calon yang bertanding. Tidak periksa latar belakang, terus diangkat jadi calon. Bila ada mekanisme macam ini, hanya calon yang betul-betul memperjuangkan parti sahaja akan diangkat," katanya.

Bekas Ketua Pemuda Maran, Pahang itu menjelaskan dari situlah parti akan lebih maju kerana dibarisi kepimpinan yang mantap dan bukan hanya dikenali tetapi tidak mampu turun padang dan buat kerja-kerja parti.

Bagi Sheikh Nafiq AlFirdaous, 32, tempoh kempen seharusnya lebih panjang untuk memberi lebih masa kepada calon seperti dirinya untuk memperkenalkan diri.

"Mana-mana calon yang ada jawatan dalam kerajaan atau NGO boleh berkempen. Yang tiada jawatan cuma mampu berharap kepada badan perhubungan negeri untuk kenalkan calon.

"Selain penglibatan aktif di dalam medium internet dan media alternatif, calon perlu ke bahagian lain juga untuk kenalkan diri memandangkan sekarang waktu berkempen cuma tiga minggu (dulu empat hingga enam bulan) dan ia agak terhad," katanya yang juga Tokoh Belia Negara 2009.

Jelasnya cabaran bagi mereka yang tidak dikenali ini adalah perlu bergerak sendiri dan berusaha lebih untuk memperkenalkan diri mereka kepada umum tanpa melanggar etika pemilihan yang ditetapkan.

Dianggarkan 70,000 perwakilan Pemuda akan mengundi pada pemilihan kali ini membabitkan 94 calon menawarkan diri bertanding kesemua 24 jawatan yang dipertandingkan terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan 20 Exco pergerakan itu.

Senarai calon layak bertanding bagi semua peringkat pada pemilihan Umno hanya akan dimuktamadkan 7 Oktober ini manakala mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti akan diadakan serentak pada 12 Oktober.

Pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pula pada 19 Oktober. - BERNAMA

Artikel Lain