IPOH: Seorang lelaki warga emas cedera apabila terkena satu das tembakan dilepaskan perompak yang memecah masuk rumahnya di Taman Impian, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan awal pagi Selasa.Yang Ho Chai, 62, cedera di tapak tangan kanannya dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu. Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata mangsa, yang merupakan peraih buah kelapa sawit dan tinggal sendirian, bangun dari tidur sejurus terdengar bunyi di tingkat bawah rumahnya."Mangsa keluar dari bilik dan mendapati dua lelaki yang memakai topeng berwarna putih sedang menggeledah rumahnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.Beliau berkata mangsa terus mencapai sebilah parang dan cuba menyerang namun kedua-dua suspek terus meluru ke dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah itu."Mangsa turut masuk ke dalam bilik berkenaan dan mendapati seorang suspek memegang parang manakala seorang lagi memegang sesuatu yang ditutup dengan kain sambil menjerit mahu menembak tangan mangsa," katanya.Goh berkata mangsa kemudian ditembak suspek selepas enggan melepaskan parang daripada genggamannya.Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta milik mangsa."Polis kini menjalankan siasatan dan memburu kedua-dua suspek serta mengesan kereta yang dilarikan itu," katanya.Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - BERNAMA