suria

110, 765 Perwakilan Wanita Umno Diminta Buat Pilihan Tepat - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 110,765 anggota perwakilan wanita diminta membuat pilihan tepat pada pemilihan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita Umno esok supaya sayap itu terus berpeluang mengangkat martabat wanita ke tahap lebih cemerlang.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata anggota perwakilan dari 19,665 cawangan itu perlu memilih calon yang mampu membawa wanita ke satu era mencabar sekali gus mencapai kecemerlangan golongan itu dan Barisan Nasional (BN).

"Zaman sekarang, landskap politik sudah berubah. Dahulu memang senang, sekarang sudah susah. Sekiranya tidak bertawakal, tidak mempunyai ketabahan, tidak ada keyakinan dan tidak ada kekuatan dalaman, amat susah untuk seseorang itu menjadi pemimpin pada masa kini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis simulasi Pemilihan Umno Penggal 2013-2016 Umno Bahagian Kepong dan majlis doa selamat bagi kelancaran pemilihan esok di sini, Jumaat.

Kira-kira 100 pelajar Tahfiz Darul Ulum Al-Furqani dari Puchong turut menyertai majlis itu.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata jika diberi peluang sekali lagi untuk menerajui kepimpinan tertinggi sayap itu, beliau bertekad untuk meningkatkan pencapaian wanita supaya menjadi pergerakan yang disegani dan membuka ruang yang lebih luas kepada mereka melontarkan pandangan dan pendapat.

"...juga memberi ruang kepada wanita supaya diberi ruang bersuara lantang. Saya minat nak tengok suara lantang wanita di peringkat akar umbi jadi satu suara berkumandang seluruhnya," katanya.

Di samping itu, Shahrizat berhasrat melihat pergerakan Wanita mampu mendapat pengiktirafan menjadi tulang belakang kepada Umno secara keseluruhannya.

"Ini sangat penting...jika kepimpinan tertinggi Umno setuju Wanita bukan sahaja lagi menjadi sayap tetapi tulang belakang Umno, ini merupakan satu struktur yang cantik. Saya bertekad meminta kebenaran daripada Umno untuk dapat pengiktirafan sumbangan dan pengorbanan jasa wanita," katanya.

Ditanya mengenai sokongan anggota Wanita Umno keseluruhannya terhadapnya, Shahrizat berkata beliau berpuas hati dengan sokongan mereka.

"Alhamdulillah, saya menerima kerjasama dan sokongan begitu baik sekali sehinggakan kita mampu mengeratkan tali silaturrahim di antara kami dan Wanita dapat menjalankan kerja politik dan kemasyarakatan dengan sebaiknya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain