KUALA LUMPUR: Ejen-ejen calon melakukan promosi di saat-saat akhir dengan mengedarkan kad bersertakan nombor calon kepada para perwakilan pada pemilihan peringkat Bahagian Umno Wilayah Persekutuan pada Sabtu.Berpakaian kemeja-t pelbagai warna yang tertera nombor dan gambar calon, para ejen hadir seawal 7.30 pagi untuk mengagihkan maklumat kepada anggota-aggota perwakilan. Tinjauan Bernama mendapati gelagat mereka menjadi tarikan dengan menegur dan memberikan senyuman tanpa henti kepada anggota perwakilan, yang mula mendaftarkan diri untuk bermesyuarat seawal 8 pagi.Izat Adam, 23, penuntut institusi pengajian tinggi swasta berkata beliau menjadi wakil ejen bagi calon Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. "Saya bersemangat edarkan kad-kad ini kerana pada masa akan datang mungkin giliran saya pula bertanding," katanya. Selain Izat, rakannya Mohd Alfifi Arshad, 23, yang juga anggota Umno Cawangan Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, juga menjadi ejen calon."Banyak perubahan telah berlaku dan pemilihan kali ini lebih terbuka menggunakan sistem baru 'electoral college' menjadikan saya tertarik untuk terlibat mempromosikan calon," katanya.Senario ejen itu dapat dilihat di beberapa mesyuarat perwakilan Umno termasuk Bahagian Bandar Tun Razak, Bahagian Bukit Bintang, Bahagian Titiwangsa dan Bahagian Setiawangsa.Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Wira Syed Ali Syed Abbas Alhabshee ketika dihubungi berkata mesyuarat kesemua 13 Umno Bahagian dalam Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berjalan lancar.Tiga belas Bahagian itu ialah, Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Kepong, Putrajaya, Bandar Tun Razak, Bukit Bintang, Segambut, Wangsa Maju, Seputeh, Cheras, Setiawangsa dan Labuan. -BERNAMA