suria

1.7 Juta Isi Rumah Belum Miliki Kediaman Sendiri

KUALA LUMPUR: Seramai 1.7 juta isi rumah di Malaysia belum memiliki kediaman sendiri, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Untuk membantu golongan itu memiliki rumah sendiri, katanya kerajaan merancang menyediakan 1 juta rumah dalam tempoh lima tahun.

Rumah itu akan dibina melalui kementerian, Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan pemaju-pemaju swasta. "Sehingga September ini, Perbadanan PR1MA telah meluluskan 30 projek rumah mampu milik yang melibatkan 44,227 unit rumah di seluruh negara dan lokasi yang dikenal pasti ialah Sabah, Johor, Perak, Pahang, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor. "Jumlah rumah mampu milik yang dibina SPNB pula bagi tempoh 2011 sehingga September ini ialah 3,614 unit di seluruh negara," katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Azalina bertanya mengenai statistik terkini peratusan penduduk kawasan bandar yang memiliki rumah sendiri berbanding yang menduduki rumah sewa.

Sehingga September lepas, kementerian menyediakan 93 projek perumahan melibatkan 69,336 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan enam lagi projek melibatkan 3,080 unit rumah dibangunkan di Melaka, Kedah dan Kelantan, kata Abdul Rahmad.

Abdul Rahmad berkata menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat 4.67 juta unit rumah di Malaysia sehingga Jun lepas.

Beliau juga menafikan dakwaan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baharu) berlakunya ketidakadilan dalam prosedur pengagihan rumah mampu milik berdasarkan fahaman politik pemohon. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain