YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bajet 2014 melambangkan komitmen kerajaan untuk terus memaju dan membangunkan Malaysia, serta memberi keadilan kepada segenap lapisan masyarakat.Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan RM54 bilion kepada sektor pendidikan juga menunjukkan kerajaan komited untuk melahirkan modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan negara. "Hampir 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan adalah untuk memperkasa sistem pendidikan negara kerana kita sedar kalau ia dapat dilaksanakan, anak-anak kita akan dilahirkan sebagai anak-anak yang berilmu, berpengetahuan, cekap, pandai dan bijaksana."Yang penting bila kerajaan pelopori usaha meletakkan pendidikan di tahap hadapan, ia perlu didukung bersama oleh rakyat. Segala-gala yang kita laksanakan adalah untuk menentukan rakyat mendapat faedah dan nikmat," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, semasa berucap pada majlis perjumpaan bersama waris murid dan warga pendidik daerah Kuala Muda dan Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di sini, Sabtu.Turut hadir isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Mansor Lat.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam membentangkan Bajet 2014 berjumlah RM264.2 bilion bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji'.Menyentuh peruntukan RM50 juta bagi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Rakyat, Muhyiddin berkata ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk melihat sekolah tersebut maju seiring dengan sekolah-sekolah lain.Dalam pada itu, beliau berkata sistem pendidikan negara juga diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menyerahkan surat penghargaan kepadanya, sebagai Menteri Pendidikan, yang memuji usaha Malaysia menyediakan kelengkapan pendidikan di semua peringkat melebihi sasaran yang ditetapkan oleh badan dunia itu."Sejak dahulu, perhatian pimpinan kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) adalah dalam soal meningkatkan keupayaan mewujudkan sistem pendidikan berkualiti."Sampai hari ini, kerajaan yang terus dipimpin BN meletakkan pendidikan sebagai satu agenda yang paling penting dalam proses pembangunan," jelasnya.Sementara itu, menyentuh mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Timbalan Perdana Menteri menyeru para pengundi memberi peluang kepada BN untuk mentadbir kawasan itu, yang sekali gus membawa lebih banyak kemajuan kepada kawasan tersebut.Muhyiddin yakin calon yang dipilih mewakili BN iaitu Dr Ahmad Sohaimi Lazim benar-benar layak berdasarkan pengalaman dan latar belakang pendidikannya."Sungai Limau tidak akan berubah kecuali saudara buat keputusan berhijrah dari hijau ke biru. 4 November tidak lama lagi, saya mahu penduduk Sungai Limau buat pertimbangan yang bijaksana," katanya.Pilihan raya kecil DUN itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ahmad Sohaimi dan Mohd Azam Abd Samat yang mewakili PAS.Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.4 juta bagi membantu 12 buah sekolah di kawasan tersebut.- BERNAMA