suria

1,000 Pembantu Rumah Kemboja Masuk Malaysia Setiap Bulan - Ahmad Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan cenderahati sebuah bukunya bertajuk "Lontaran Kata Zahid Hamidi" kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan ketika menerima kunjungan beliau pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Isnin. -fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan cenderahati sebuah bukunya bertajuk
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan cenderahati sebuah bukunya bertajuk "Lontaran Kata Zahid Hamidi" kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan ketika menerima kunjungan beliau pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Isnin. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,000 pembantu rumah dari Kemboja akan dihantar ke Malaysia setiap bulan bagi memenuhi permintaan tempatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Penghantaran ini akan dibuat setelah penjanjian persefahaman ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Kemboja yang dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Ahmad Zahid berkata pengambilan pembantu rumah dari negara berkenaan berikutan kesukaran majikan Malaysia mendapat khidmat pembantu rumah Indonesia.

"Kini terdapat kira-kira 30,000 pekerja Kemboja yang bekerja di Malaysia terutamanya dalam sektor pembantu rumah," katanya yang terdahulu menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan, di pejabatnya.

"Kita juga telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Kemboja agar sebelum pekerja ini dibawa ke Malaysia, pihak Kemboja akan mewujudkan pusat latihan yang meliputi soal pembelajaran bahasa, budaya dan etika bekerja," katanya.

Menurutnya kerajaan Malaysia juga bersedia membantu pihak Kemboja yang pada masa ini hanya mempunyai tiga pejabat imigresen, untuk mempertingkat sistem pengurusan dan pengeluaran pasport di negara itu.

"Kita akan bantu mereka dalam bentuk program 'training for the trainers' untuk pegawai-pegawai kanan Kemboja yang akan ditempatkan di Jabatan Imigresen bagi mempelajari sistem pengeluaran pasport antarabangsa daripada kita," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia juga menawarkan latihan kepolisan kepada pegawai kanan dan pertengahan polis Kemboja terutamanya dalam aspek pembanterasan jenayah.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata susulan lawatannya ke Kemboja, beliau juga mencadangkan kepada kerajaan atas kapasitinya sebagai naib presiden Umno, agar bantuan modal asas bernilai US$1 juta disalur kepada penduduk Kemboja yang berpendapatan rendah dan miskin tegar.

"Namun sebelum bantuan yang akan disalurkan melalui Yayasan Al-Bukhary ini diberi, 10 orang yang mendapat bantuan mikrokredit ini akan dilatih di Malaysia," katanya.

Beliau berkata latihan itu akan dilakukan melalui kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun, selepas mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain