BINTULU: Dua orang- seorang lelaki dan wanita- terbunuh dalam kebakaran sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat Jalan Sri Dagang di sini, Jumaat.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hata Gobel berkata berdasarkan pemeriksaan terhadap mayat mangsa, pihaknya percaya lelaki yang maut itu adalah rakyat tempatan manakala wanita itu rakyat asing. Ini kerana terdapat tanda suntikan BCG pada lengan lelaki itu tetapi wanita berkenaan tidak mempunyai tanda suntikan BCG, katanya ketika dihubungi hari ini.Beliau berkata kedua-dua mangsa berumur dalam lingkungan 30-an dan identiti sebenar mereka belum dikenalpasti."Kami percaya mereka mati kerana tersedut asap," katanya.Beliau berkata kebakaran pada pukul 5.26 pagi itu melibatkan tingkat tiga bangunan rumah kedai itu yang diubahsuai menjadi bilik sewa sembilan pintu.Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat, katanya sambil memberitahu empat lelaki yang turut tinggal di bangunan sama berjaya diselamatkan. -BERNAMA