suria

Wanita Gelandangan Ditemui Mati Di Kaki Lima Bank

KUALA LUMPUR: Seorang wanita gelandangan ditemui mati dengan kesan koyakan pada bahagian kanan mukanya, dipercayai dibunuh, di Jalan Tun H. S Lee, di sini Jumaat.

Mayat wanita berusia 60-an itu ditemui oleh orang awam di kaki lima berhampiran sebuah bank pada pukul 7 pagi Jumaat, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.

"Wanita ini dikatakan sering meminta sedekah di kuil di Jalan Tun H. S Lee ini dan juga di Batu Caves," katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, identiti mangsa belum dikenal pasti, namun dipercayai warga tempatan.

Siasatan awal polis di lokasi juga tidak menemukan sebarang senjata, namun mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tajam sehingga mengoyakkan bahagian pipinya, kata sumber itu.

Sementara itu, di Subang Jaya, seorang pekerja kilang warga Nepal, ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan lehernya diikat pada rak besi, di dalam stor sebuah kilang pengeluar produk dandanan diri awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mayat Mohan Nato, 25, yang dipercayai dibunuh, ditemui pada pukul 6 pagi oleh penyelia kilang yang mencarinya apabila mangsa gagal kembali bertugas selepas tamat waktu rehat.

Mangsa bekerja syif malam dari 5 petang hingga 5 pagi bersama-sama seorang rakan senegara dan dua rakyat tempatan.

Mangsa dikatakan tidak masuk bertugas semula selepas waktu rehat tamat pada pukul 3 pagi.

"Terdapat kesan cedera pada bahagian atas kepala dipercayai akibat hentakan objek keras. Selain itu pihak polis juga menemui tompokan darah kira-kira 60 meter dari tempat mangsa tergantung," katanya menerusi SMS. - BERNAMA

Artikel Lain