Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan (kanan) bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan (kiri) ketika melancar buku pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-8 yang bertemakan "Bahasa Melayu Bahasa Negara Bangsa" di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur pada Rabu. -Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Potensi Bahasa Melayu (BM) untuk dimartabatkan sebagai bahasa dunia khususnya dalam sektor ekonomi adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai.Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, ini kerana BM dikuasai lebih daripada 300 juta orang di Asia Tenggara. "Kepelbagaian dialek menjadikan BM amat kaya dan berpotensi untuk berkembang menjadi bahasa Asean selain mempunyai bilangan penutur ke-10 teramai di dunia," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan BM Kelapan UPM/Dewan Bahasa dan Pustaka di sini Rabu.Seminar yang bertemakan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara bangsa itu membincangkan mengenai usaha yang dapat dilakukan bagi memantapkan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan.Menurutnya, BM turut digunakan sebagai salah satu bahasa perantara dalam Forum Parlimen Asia Pasifik yang berlangsung di Ulan Bator, Mangolia pada Januari 2011."Walaupun penggunaan BM tidaklah sepenuhnya pada waktu itu, usaha memperkenalkan bahasa ini sebagai bahasa Asean mulai diberi perhatian oleh 27 negara yang mengambil bahagian dalam forum tersebut."Sudah tiba masanya masyarakat pengguna BM diyakinkan dengan kemampuan BM menjadi bahasa dunia kerana seluruh dunia tahu BM pernah mencapai status lingua franca seperti yang dikecapi Bahasa Inggeris (BI) sekarang," katanya.Mohd Fauzi berkata dalam era yang mencabar ini, usaha memertabatkan BM turut berhadapan krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat untuk menonjolkan bahasa kebangsaan mereka."Ledakan teknologi maklumat semakin menggugat BM dan kita semua harus sedar akan kesan yang akan dihadapi jika krisis keyakinan itu tidak dibendung," katanya.Sehubungan itu, beliau berkata, dalam usaha menyakinkan pengguna BM, pelbagai dialek yang wujud di rantau ini termasuk Sabah dan Sarawak boleh digunakan sebagai asas dalam penggunaan BM.Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan.