suria

AirAsia Anjur Kempen Bantu Mangsa Taufan Haiyan

MUSNAH... Keadaan di sekitar bandar Tacloban selepas dilanda ribut taufan Haiyan pada Khamis lalu. -fotoBERNAMA
MUSNAH... Keadaan di sekitar bandar Tacloban selepas dilanda ribut taufan Haiyan pada Khamis lalu. -fotoBERNAMA
MUSNAH... Keadaan di sekitar bandar Tacloban selepas dilanda ribut taufan Haiyan pada Khamis lalu. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia akan menganjurkan kempen bagi mengutip derma untuk membantu rakyat Filipina yang menderita akibat taufan Haiyan menerusi ‘To Philippines with Love’ (#toPHwithlove).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kempen yang akan berakhir sehingga 31 Disember depan itu merangkumi kutipan derma di dalam pesawat dan di lapangan-lapangan terbang dalam jaringan Kumpulan AirAsia dan di laman mikro AirAsia Foundation.

Katanya, ruang kargo percuma dan tiket penerbangan percuma turut ditawarkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar, agensi bantuan dan kemanusiaan serta tambahan 250,000 tempat duduk percuma bagi rakyat Filipina yang berada di luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kami sangat perihatin terhadap kesemua mangsa tragedi ini. Para pekerja kami sendiri dan ahli keluarga mereka di Filipina turut terjejas dan kami akan bersama rakyat Filipina untuk sama-sama melalui masa yang sukar ini.

“Kumpulan AirAsia berharap dapat mengumpul dana sebanyak yang mungkin sepanjang kempen #toPHwithlove bagi membantu bantuan kecemasan yang diperlukan dalam usaha membina semula komuniti untuk bantuan jagka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Tony menambah, Kumpulan AirAsia juga akan mengumpul kutipan daripda masyarakat awam yang akan di uruskan oleh badan dermawan iaitu AirAsia Foundation.

Katanya, AirAsia Foundation telah berbincang dengan ‘Habitat of Humanity Philippines’ dan para doktor dari perkhidmatan kesihatan awam yang sedang melakukan misi di kawasan-kawasan yang paling memerlukan bantuan.

“AirAsia turut menyediakan 250,000 tempat duduk percuma bagi rakyat Filipina yang berada di luar negara yang ingin pulang ke kampung halaman mereka bagi laluan domestik Filipina dan laluan anatarabangsa ke Manila.

“Laluan domestik Filipina adalah dari Cebu ke Cagayan de Oro, Davao dan Puerto Princesa manakala laluan antarabangsa adalah dari Macau, Kuala Lumpur, Shanghai dan Miri ke Manila,” katanya.

Tambah beliau lagi, tempat duduk percuma ini boleh ditempah melalui www.airasia.com dari 13 hingga 24 November 2013 dari harga dasar 0 (kosong) dan tetamu hanya perlu membayar cukai dan bayaran yang sepatutnya.

Katanya, sesiapa yang memegang pasport Filipina yang sah atau nombor pengenalan boleh menempah tempat duduk percuma yang akan dikendalikan oleh penerbangan AirAsia Zest.

“Kami berharap tempat duduk percuma ini dapat membantu memudahkan perjalanan masyarakat Filipina yang berada di luar negara untuk kembali ke kampung dan memberi sinar selepas kemusnahan yang terjadi akibat Taufan Haiyan,” tambah Tony.

Atas usaha itu juga AirAsia turut menyediakan ruang kargo bagi proses penghantaran barang-barang bantuan dan pada sesiapa yang ingin membantu termasuk NGO, kumpulan sivik, agensi bantuan dan kemanusian boleh menghantar pertanyaan kepada [email protected].

Proses penghantaran dan syarat-syarat kargo akan diberikan selepas proses penilaian dijalankan.

Sementara itu orang awam boleh log masuk ke laman Facebook AirAsia (www.facebook.com/AirAsia) dan Twitter (www.twitter.com/AirAsia) untuk mendapatkan maklumat mengenai usaha bantuan AirAsia dan menerusi kempen #toPHwithlove bagi mengetahui bagaimana mereka boleh membantu komuniti yang terjejas oleh taufan Haiyan di negara itu.

AirAsia merupakan antara syarikat penerbanga terawal menghulurkan bantuan selepas bencana Tsunami yang berlaku di rantau ini pada tahun 2004, Taufan Nags di Myanmar (2008), Taufan Nesat di Filipina (2011), gempa bumi yang melanda Sichuan, China (2008) dan gempa bumi dan Tsunami di Fukushima, Jepun (2011).

AirAisa juga telah menyokong pembaikan semula Bali, Indonesia selepas serangan bom pengganas pada tahun 2005 dengan pemberian 12,000 tempat duduk percuma.

Ia juga termasuk penerbangan bantuan dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada November 2008 bagi membantu mereka yang terdampar akibat penutupan lapangan terbang di Bandar itu.

Usaha menyelamat yang sama juga dipanjangkan ke Padang dan Jakarta pada Oktober 2009 bagi membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.6 yang melanda kepulauan Sumatera.

Artikel Lain