suria

Bekas KP Imigresen Dibenar Ikat Jamin Selepas 23 Hari Dipenjara

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don keluar dari Penjara Kajang setelah 23 hari meringkuk dalam tirai besi, selepas Mahkamah Tinggi membenarkannya diikat jamin sementara menunggu rayuan terhadap sabitan rasuah.

Pada 30 Oktober lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 yang dijatuhkan mahkamah itu.

Hakim Datuk Azman Husin pada Jumaat membenarkan permohonan itu dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM50,000 yang dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini kepada RM200,000 dengan dua penjamin.

Sebagai syarat tambahan, beliau memerintahkan Wahid menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Azman juga membenarkan permohonan bagi geran tanah dijadikan cagaran dengan isteri Wahid dan ipar lelakinya sebagai penjamin. Wahid memakai pakaian penjara berwarna merah dan kepalanya dicukur botak, dengan nada tenang memberitahu Hakim Azman, walaupun kehidupan di penjara adalah sukar tetapi beliau dilayan dengan baik, termasuk boleh menunaikan solat lima waktu sehari.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa tidak membantah permohonan ikat jamin itu, tetapi membantah penangguhan pembayaran denda RM300,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Wahid, Datuk V. Sithambaram berhujah anak guamnnya tidak berisiko melarikan diri dan telah menghadiri semua prosiding mahkamah, malah tanpa notis diserahkan kepadanya.

Hakim Azman memberitahu Abdul Razak bahawa kes Wahid adalah kes khusus dan menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan itu.

Pada 30 Oktobre lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 ke atas Wahid selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 untuk meluluskan visa bagi pekerja Bangladesh.

Wahid dituduh menerima rasuah itu daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian sebagai dorongan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa bagi pekerja Bangladesh di Malaysia.

Dia melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta di sini pada 10 Julai, 2008. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain