GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menggempur 33 premis makanan segera termasuk rangkaian restoran francais antarabangsa terkenal dan mengeluarkan 29 kompaun atas pelbagai kesalahan kebersihan dalam operasi bersepadu, di seluruh negeri ini, Khamis.Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Barat Daya Dr Mohamed Iqbal Hamzah berkata 'Ops Fast Food' yang dijalankan bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan itu mendapati ada restoran makan segera, menukar minyak menggoreng dalam tempoh 10 hari dan menggunakan bahan mentah tamat tempoh. "Paling mengejutkan, bahan mentah seperti roti yang tamat tempoh melebihi tiga hari diletak bersama roti yang masih elok dan kemungkinan ia turut dihidangkan kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.Sebanyak enam premis diperiksa di daerah Seberang Perai Utara, lapan di Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan (lima), Timur Laut (enam) dan Barat Daya (lapan).Beliau berkata surat peringatan telah dikeluarkan kepada pengurusan restoran francais terlibat dan menggesa setiap penyelia premis membuat pemeriksaan stok berkala dan peka terhadap tarikh luput barangan serta melakukan kerja pengasingan dengan kadar segera.Katanya kompaun berjumlah RM3,720 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pemilik premis, antaranya tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur, pengendali makanan tidak menjalani suntikan tifoid dan tidak bersih.Mohamed Iqbal berkata dua restoran tempatan yang berkonsepkan makanan juga diarah tutup dalam operasi selama enam jam berakhir 2.30 petang itu.Katanya sebuah restoran nasi ayam dan kedai kopitiam masing-masing terletak di Bayan Baru dan Sungai Bakap turut diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik harus menjalankan kerja pembersihan dan akan diperiksa sekali lagi sebelum dibenar berniaga semula."Dalam kes itu, kita mengesan kehadiran tikus serta lipas dalam premis, makanan yang telah siap dimasak diletak separas dengan lantai serta penggunaan alatan yang berkarat dan kotor," katanya.Katanya, orang ramai boleh membuat aduan mengenai premis makanan kotor di negeri ini dengan menghubungi jabatan di talian 04-2017277. - BERNAMA