suria

Banjir: Lebih 40,000 Dipindahkan Di Pahang, Mangsa Di Kelantan Berkurangan

Mangsa banjir Norzawati Ibrahim, 41, membasuh pakaian ketika membersihkan rumahnya yang ditenggelami air akibat banjir yang melanda seluruh Taman Desa Bestari di Kuantan, petang Sabtu. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang meningkat kepada 40,819 berbanding 40,008 orang malam Sabtu.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa daripada 11,746 keluarga itu ditempatkan di 149 pusat pemindahan dari 154 penempatan di sembilan daerah yang tertejas akibat banjir.

"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 34,426 orang di 42 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Di Pekan, masih terdapat 3,329 mangsa di 31 pusat pemindahan, Maran (1,034 orang di 19 pusat pemindahan), Temerloh (1,002 di 22 pusat), Jerantut (520 di 11 pusat), Raub (209 di 10 pusat), Bera (189 di tujuh pusat), Rompin (57 di tiga pusat) dan Lipis (53 di empat pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup antaranya Km28 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Km72 Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Jerantut-Lipis (di Kampung Sepial), Km14 dan 18 Jalan Temerloh-Bera.

Di KELANTAN, Jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat pukul 9 pagi Ahad terus berkurangan iaitu 552 orang berbanding 1,613 orang malam Sabtu.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu melibatkan dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Di jajahan Pasir Mas, yang melibatkan kawasan Rantau Panjang, 517 orang masih berada di tujuh pusat pemindahan berbanding 1,613 orang, Sabtu.

Di jajahan Tumpat pula, lima mangsa yang baru dipindahkan pada awal pagi ini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pengkalan Kubor ekoran limpahan air Sungai Golok.

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang juga semakin surut tetapi masih berada di paras 9.52 meter, melepasi paras bahaya 9 meter.

Keadaan cuaca pagi Ahad dilaporkan cerah. - BERNAMA

Artikel Lain