suria

57 Diburu Jenayah Kekerasan, Gengsterisme - KPN

KUALA LUMPUR: Polis kini memburu 57 individu untuk diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 selepas dipercayai terbabit dengan jenayah kekerasan, termasuk gengsterisme.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata di bawah akta sama, ketika ini 41 orang ditahan dan 30 daripadanya dikenakan perintah sekatan.

"11 orang masih dalam tahanan... 57 orang lagi kita akan tangkap bila-bila masa kerana dipercayai terbabit dengan jenayah seperti yang termaktub dalam akta tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Balai League Table 2013 di sini, Selasa.

Mengulas pindaan PCA, beliau berharap akta itu dapat diwarta menjelang akhir tahun ini sebelum dikuat kuasa.

"Ada perkara yang masih belum disiapkan dalam akta itu sebelum ia dapat diwartakan seperti prosedur operasi standard dan penggunaan 'peranti pemantauan elektronik'... selepas semua perkara dapat dimuktamad baru ia akan diwarta dan berkuat kuasa," katanya.

Khalid berkata selepas berkuat kuasa, akta itu memberi peluang kepada polis untuk melaksanakan tugas membanteras serta mencegah jenayah dengan lebih berkesan, termasuk mengesan dan mendakwa ketua kumpulan kongsi gelap yang dilapor melarikan diri ke negara jiran.

"Kita tunggu masa untuk tangkap ketua-ketua kumpulan kongsi gelap ini yang masuk semula ke dalam negara... saya pasti mereka akan masuk semula dan kalau mereka masuk selepas akta baru ini berkuat kuasa, ia lebih baik bagi kami," katanya.

Rang undang-undang bagi meminda PCA 1959, yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini, digubal kerana terdapat keperluan untuk mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.

Mengulas statistik terkini Ops Cantas dari 17 Ogos sehingga hari ini, Khalid berkata sebanyak 1.1 juta orang diperiksa di seluruh negara dan merekod tangkapan sejumlah 39,097.

"Sebanyak 1,160 senjata dirampas termasuk bom tangan. Sebanyak 655,118 kenderaan diperiksa dengan 1,632 dikenal pasti sebagai kenderaan curi," katanya, sambil menambahkan Ops Cantas akan terus dilaksana dan ditambah baik mengikut keperluan. -BERNAMA

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia