suria

VOA Diberikan Kepada Pelancong China, India Yang Tiba Dari Negara Ketiga

Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD SAHAR MISNI/TheStar
Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD SAHAR MISNI/TheStar
Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD SAHAR MISNI/TheStar

PUTRAJAYA: Kerajaan telah melonggarkan sekatan visa bagi pelancong dari India dan China sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelancong India dan China akan diberikan visa semasa ketibaan (VOA) tetapi hanya untuk mereka yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga.

Buat masa ini, pemegang pasport India dan China perlu memohon visa untuk berkunjung ke Malaysia.

"Namun kita tidak akan berkompromi jika ada yang datang untuk menimbulkan masalah sosial atau tidak pulang (ke negara asal mereka," kata Dr Ahmad Zahid selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen di sini, Selasa.

Malaysia telah memansuhkan kemudahan VOA kepada pelancong dari lapan negara termasuk China dan India pada 2010 kerana berlaku penyalahgunaan.

Dilaporkan ribuan pelancong telah menyalahgunakan VOA yang diperkenalkan pada 2006 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2007, kerana berada di negara ini melebihi tempoh.

Seorang pegawai Imigresen berkata, terdapat kira-kira 39,000 warga India dan 6,000 warga China yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Ahmad Zahid turut mengumumkan semua pemohon pasport Malaysia tidak perlu lagi membawa gambar sendiri berkuatkuasa 1 Mac tahun depan.

"Pemohon (Malaysia) hanya perlu datang ke kaunter dan gambar mereka akan ditangkap di pejabat Imigresen," katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata, tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan itu.

Artikel Lain