suria

Boon Som Angkat Sumpah Jawatan Senator Bagi Penggal Kedua

Boon Som Inong.
Boon Som Inong.
Boon Som Inong.

KUALA LUMPUR: Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang, Datuk Boon Som Inong pada Isnin mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di Dewan Negara.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Boon Som, 52, yang merupakan bekas wartawan Agensi Berita Iran dan Agensi Berita Kuwait (KUNA) dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara berkuat kuasa hari ini selama tiga tahun.

Kali pertama beliau mengangkat sumpah ialah pada 15 Disember 2010.

Boon Som yang dilahirkan di Kedah, pernah bertugas sebagai pegawai khas dan setiausaha akhbar menteri besar Kedah (2003-2008) serta setiausaha akhbar menteri kerja raya bagi tempoh 2008 hingga 2009.

Pada 25 Nov lepas beliau dilantik menjadi Anggota Majlis Konsultatif Perpaduan Negara untuk tempoh tiga tahun.

Boon Som ketika ditemui pemberita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mencadangkan beliau menjadi anggota Dewan Negara untuk penggal kedua.

Beliau berazam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin bagi mengangkat martabat masyarakat Siam setaraf dengan kaum lain di negara ini.

"Saya akan berusaha untuk memastikan isu-isu dan permasalahan yang masih lagi tertangguh dan belum menjadi realiti dapat dirungkai dan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Turut mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua pada Isnin ialah Anggota Lembaga Pengurusan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Senator Mariany Mohammad Yit, 57. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan