SHAH ALAM: Seorang anggota majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 19 pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2010.Hamdan Ismail, 50, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan berhubung cadangan Syarikat Alam Muhibbah Enterprise, yang dikendalikan anaknya, Yuwafee Heidi, bagi melaksanakan kerja membina bonggol premix di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta membaik pulih jalan di Taman Equine, Seri Kembangan berharga RM19,790. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MPSJ di Subang Jaya pada Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu, sebagai tulen di Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ Subang Jaya pada 3 Disember 2010.Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA