suria

50 Mangsa Banjir Di Pahang Dihantar Tunai Umrah

KUANTAN: Seramai 50 orang penduduk negeri ini yang terjejas akibat banjir akan dihantar mengerjakan umrah secara percuma oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET).

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengumumkan perkara itu selepas baginda menyempurnakan majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat negeri dan penghargaan kepada sukarelawan di Masjid Al-Mutaqqim, Tanah Putih dekat sini Ahad.

Baginda bertitah, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban rakyat yang mengalami kerugian besar dan kehilangan harta benda akibat banjir yang melanda Pahang baru-baru ini.

"Saya juga memohon agar pihak yang yang terpilih untuk pergi mengerjakan umrah nanti dapat mendoakan kesejahteraan buat negeri ini dan seluruh rakyat serta dielakkan dari dilanda musibah banjir sekali lagi," titah baginda.

Turut berangkat ialah Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut hadir.

Sultan Ahmad Shah bertitah agar rakyat bersabar dalam menempuh dugaan dari Allah dan menunggu bantuan dari kerajaan pusat serta negeri yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat.

Pada majlis itu, seramai 1,000 mangsa banjir menerima bantuan ihsan sebanyak RM250 dari kerajaan negeri dan RM100 sumbangan SASET.

Mereka turut menerima peralatan seperti tilam, bantal dan dapur sumbangan Kelab Putera 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain