suria

Aduan Kurang Diesel Hanya Di Lembah Klang, Selangor Dan Johor - Hasan Malek

Hasan Malek.
Hasan Malek.
Hasan Malek.

KUANTAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kekurangan bekalan diesel hanya berlaku di Lembah Klang, Selangor dan Johor.

Beliau berkata, ini berdasarkan aduan yang diterima kementeriannya setakat ini.

"Sebenarnya permintaan diesel di Sabah dan Sarawak lagi tinggi berbanding di Semenanjung, namun kita tidak menerima laporan kekurangan bekalan di negeri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menemui warga Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri di sini, Khamis.

Hasan juga tidak menolak isu kekurangan bekalan diesel di stesen-stesen minyak itu berpunca daripada sindiket penyeludupan.

"Oleh itu, saya akan pastikan pegawai dan anggota penguat kuasa kita melakukan tugas pemantauan dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket atau peniaga yang tamak ini," katanya.

Menurut Hasan, andaian pembabitan sindiket penyeludupan itu berasaskan kepada penurunan jumlah permohonan menambah kuota daripada pengusaha stesen minyak di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Pada Oktober lalu kementerian memproses 119 permohonan dan menurun kepada 60 pada bulan lepas dan bagi tempoh bulan ini sehingga semalam kementerian menerima 18 permohonan, katanya.

"Kalau kita tengok jumlah permohonan ini, maknanya masalah bekalan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya berjaya mengurangkan aduan kekurangan bekalan diesel selepas melaksanakan prosedur operasi standard baharu yang membolehkan permohonan menambah kuota diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga hari. - BERNAMA

Artikel Lain