KUALA LUMPUR: Gunakan kuasa pengguna dan bukannya turun ke jalan dengan sertai perhimpunan haram menggulingkan kerajaan pada 31 Dis ini sebagai membantah peningkatan kos sara hidup, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan."Kita boleh bantah dengan cara yang bijaksana. Malaysia merupakan negara demokrasi yang mempunyai undang-undang, jadi gunakan kuasa pengguna dalam keadaan yang bijak. "Perkara ini boleh ditangani, memang ia memberikan tekanan tetapi kita perlu tahu apa yang kita boleh buat bagi memastikan diri kita tidak terjejas dengan kenaikan-kenaikan ini," katanya dalam sidang media selepas sesi soal jawab isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), subsidi, muflis dan 'along', Sabtu.Beliau berkata orang ramai seharusnya menjadikan isu kenaikan sebagai cabaran dan pencetus kebangkitan agar berusaha lebih bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk menjana serta meningkatkan pendapatan."Bagi PPIM, kita merasakan orang awam perlu membuat sesuatu yang lebih produktif seperti melakukan perniagaan," katanya.Dalam pada itu, Nadzim berkata kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan beberapa siri kenaikan yang diumum.Beliau berkata pentadbiran kerajaan perlu mengambil langkah bagi memperbaiki segala kesilapan terdahulu agar ketirisan perbelanjaan tidak lagi berlaku dalam urusan kerajaan."Dari sudut kerajaan pula, memang tiada masalah jika cukai GST perlu dibuat tetapi pastikan hasil cukai itu tidak habis akibat ketirisan dan sekiranya kerajaan melakukan dengan baik, kita pasti rakyat juga tidak akan membantah."Kita cadangkan agar suatu jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku selain mengkaji semula kaedah pembahagian subsidi yang dilihat tidak adil pada ketika ini," katanya.Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu meningkatkan keberkesanan tadbir urus negara, terutama dengan mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasi subsidi, seperti nasihat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.-BERNAMA