KUALA LUMPUR: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Salman Mokhtar, yang terjatuh ke dalam longkang besar di Bandar Tun Hussein Onn minggu lalu, ditemui tersangkut di perangkap sampah di Dengkil, kira-kira 50km dari sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, orang ramai memaklumkan kepada polis mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 1 petang Selasa.
Ketika ditemui, mangsa memakai baju-T berwarna merah dan seluar pendek berwarna hijau, sama seperti yang dipakai Salman ketika insiden pada Jumaat lalu.
"Dia dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat baru-baru ini. Mayatnya mulai mereput dan terdapat beberapa kesan lebam.
"Mayat telah dibawa ke Hospital Serdang dan ibu kanak-kanak itu mengecam mayat tersebut," katanya.
Operasi mencari Salman dilakukan secara besar-besaran selepas dia terjatuh ke dalam longkang besar di Jalan Suasana l, di Bandar Tun Hussin Onn, petang Jumaat lalu.