suria

Sederet 10 Rumah Kayu Musnah Dalam Kebakaran Di Ipoh

IPOH: Sederet 10 buah rumah kayu yang dijadikan kediaman sewa musnah dijilat api dalam kebakaran berhampiran Masjid Panglima Kinta di sini, Jumaat.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak Emil Taihin berkata kesemua rumah itu sedang terbakar ketika anggotanya tiba di tempat kejadian, sejurus menerima panggilan pada pukul 8.55 pagi.

"Empat daripada 10 rumah berkenan tidak didiami manakala penghuni di enam buah rumah lain pula keluar bekerja," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata faktor struktur rumah yang berasaskan kayu itu menyebabkan api mudah merebak dan meranapkan kesemua rumah berkenaan dalam hanya beberapa minit.

Dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bersama 30 anggota dikejarkan ke tempat kejadian, selain dibantu sebuah jentera bersama enam anggota pasukan Bomba Sukarela Pasir Pinji.

Katanya, bomba berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran masih disiasat dan nilai kerugian dianggarkan RM18,000, katanya.

Emil bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan kebakaran mungkin disebabkan daripada aktiviti penagihan dadah di kawasan berkenaan, berdasarkan maklumat orang awam.

"Menurut saksi, rumah yang ditinggalkan itu dikatakan menjadi sarang penagih dadah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain