suria

Abdul Wahid Ke Pasar, Beli Dan Pantau Harga Barang

Abdul Wahid
Abdul Wahid

PUTRAJAYA: Walaupun berstatus menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar tidak kekok ke pasar untuk membeli barangan basah bersama isterinya.

Para pemberita yang membuat liputan pemantauan harga barang oleh Pemuda Umno Putrajaya di Pasar Awam Presint 8 di sini, turut bertembung beliau yang secara kebetulan berada di pasar itu Sabtu.

"Saya orang biasa juga. Kita mesti dapatkan harga yang terbaik. Saya tinggal di Cyberjaya. Setiap minggu (beli barang) di Dengkil sebab ikan dan sayur lebih murah. Dekat sini (Pasar Awam Presint 8)...beli barangan kecil-kecil termasuk taugeh," katanya ketika ditemui.

Abdul Wahid berkata beliau sentiasa mengambil maklum mengenai harga barangan di pasaran dan sentiasa turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku.

"Saya mengikuti perkembangan kos sara hidup, sebab masa saya di Maybank juga, kalau saya pergi ke Jakarta atau ke mana-mana, saya pergi ke pasar atau pasar raya nak tengok perbandingan harga untuk melihat pendapatan dengan kos sara hidup di Indonesia berbanding Malaysia," kata beliau yang merupakan bekas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Maybank.

Menurutnya peranan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) perlu dipertingkat untuk memberi lebih kesedaran kepada pengguna, selain peranan dimainkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau berkata pengguna juga perlu menjadi pengguna yang bijak serta berbelanja secara berhemah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan