GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot di 0.9 batu nautika dari Dermaga Air Dalam di sini dan merampas pelbagai barangan kosmetik bernilai RM224,060 pada Rabu.Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapt Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot perdagangan tukar barang yang berdaftar di Indonesia itu ditahan pada pukul 11.45 malam dan hasil pemeriksaan menemui barang kosmetik yang dibawa masuk tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). "Pasukan kita yang membuat rondaan di kawasan perairan menahan sebuah bot 'barter trade' dalam pelayaran dari Pelabuhan Belawan, Medan, Indonesia menuju ke Pulau Pinang."Hasil pemeriksaan di geladak bawah mendapati vesel telah membawa barangan kosmetik iaitu sabun pencuci muka jenama COLLAGEN dari Belawan, Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.Beliau berkata kesemua kosmetik itu juga tidak mendapat kelulusan PBKD dan diserahkan kepada Jabatan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.Kamaruszaman berkata kes itu disiasat menurut Peraturan 18A (1), Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik serta Akta Jualan Dadah 1952. BERNAMA