GURUN: Sebanyak 20 orang termasuk 18 pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang tersesat di Gunung Jerai dekat sini selepas mendaki gunung itu sejak pagi Sabtu, berjaya ditemui anggota penyelamat, malam Ahad.Kumpulan pelajar tersebut melibatkan 18 pelajar wanita dan dua lelaki yang bertindak sebagai jurupandu kumpulan pelajar itu. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Nazri Zakaria berkata pihaknya menerima maklumat daripada polis bahawa 18 pelajar wanita dan dua pelajar lelaki dipercayai hilang, pada pukul 6.24 petang.Katanya 19 anggotanya dikerahkan untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat dan tiba di Gunung Jerai pada pukul 7 malam."Operasi bermula kira-kira 9 malam. Maklumat awal yang kita terima daripada pihak polis kesemua mangsa mendaki Gunung Jerai pada pukul 10 pagi Sabtu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.Nazri berkata pasukan penyelamat menemui mangsa kira-kira 10 malam dalam keadaan selamat dan kemudian usaha dijalankan untuk membawa mangsa turun dari gunung tersebut. Selain Bomba, pasukan penyelamat turut melibatkan polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan renjer hutan.Kesemua mangsa berjaya dibawa turun dari puncak Gunung Jerai ke pusat operasi di kaki gunung itu berdekatan Air Terjun Seri Perigi, Yan kira-kira 3 pagi.Sementara itu, Rektor Kuin Datuk Mohd Yusof Kasim mengesahkan 18 pelajar perempuan adalah pelajar kolej tersebut dan dua lelaki lagi adalah jurupandu, bukan pelajar kolej itu.Katanya pihaknya memandang serius berhubung kejadian itu dan bercadang mewujudkan peraturan baharu kepada setiap pelajar yang ingin mengadakan aktiviti luar.Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, pendakian yang dilakukan kumpulan pelajar itu adalah di luar pengetahuan pihak kolej universiti berkenaan. - BERNAMA