KUALA LUMPUR: Polis Trafik Pasukan Bukit Aman kini dikenali sebagai Jabatan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas Suruhanjaya Pasukan Polis meluluskan penaiktarafan cawangan itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan kewujudan jabatan itu, pentadbirannya adalah di bawah arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Dengan adanya kenaikan taraf ke sebuah jabatan, maka ia akan memberikan kuasa khususnya bagi penguatkuasaan yang lebih meluas.
"Jabatan trafik ini akan mempunyai seorang pengarah dan masih menggunakan penubuhan yang sama terdapat di dalam perkhidmatan serta tidak melibatkan lebihan perbelanjaan yang akan digunakan," katanya kepada pemberita pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 4 di plaza tol Sungai Besi.
Beliau berkata, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof akan menjadi pengarah jabatan itu.
Ahmad Zahid juga berkata jumlah keanggotaan bahagian polis trafik bagi jabatan ini ialah sekitar 6,000 orang di seluruh negara dan diperkukuh dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan jalan raya.
Sementara itu, tempoh enam hari Op Selamat 4 mencatat 6,136 kes kemalangan berbanding 7,034 kes bagi tempoh sama semasa Tahun Baharu Cina tahun lepas iaitu menyaksikan penurunan sebanyak 898 kes. - BERNAMA