suria

Agong Minta Rakyat Sokong Kerajaan Untuk Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar semua lapisan rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia telah dapat melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.

"Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini akan memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020," titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di sini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim bertitah status sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan perlu ditingkatkan kerana ia merupakan kekuatan yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan terutama oleh pelabur asing.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum yang wujud ketika ini dikekalkan kerana ia merupakan benteng dan tunjang utama dalam menghadapi segala cabaran mendatang selain dapat terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.

"Ketepikanlah perbezaan politik dan sikap perkauman dalam diri. Utamakanlah kepada perpaduan kaum yang menjadi asas sejak negara merdeka 56 tahun lepas," titah baginda.

Mengenai Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong melahirkan harapan agar kawasan yang menjadi ibu negara Malaysia ini dapat membangun dengan lebih pesat lagi dan seterusnya menjadi bandar raya paling berdaya saing menjelang tahun 2020.

Baginda yakin segala usaha dan projek yang dilakukan kerajaan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar seperti MyRapid Transit (MRT), River of Life dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dapat terus menjadikan ia sebagai bandar raya yang selesa untuk kesejahteraan penduduk.

"Beta berharap agar Kuala Lumpur dapat menarik banyak syarikat multinasional dan antarabangsa untuk datang serta menjadi bandar raya destinasi kewangan," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka bertitah, Kuala Lumpur perlu mengambil kesempatan daripada Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti untuk memastikan sasaran ketibaan 15 juta pelancong tahun ini berjaya.

"Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu menjadi misi nasional untuk pastikan ketibaan 28.3 juta pelancong berjaya.

"Pastinya Kuala Lumpur akan turut jadi tumpuan pelancong. Beta berharap sasaran 15 juta pelancong Kuala Lumpur dan keuntungan RM24.9 juta daripada perbelanjaan (pelancong) dapat dicapai", titah baginda.

Seri Paduka juga mahu agar Wilayah Persekutuan Labuan dapat terus dibangun dan dimajukan bukan sahaja sebagai pusat kewangan pesisir pantai, malah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

"Labuan merupakan Wilayah Persekutuan yang berpotensi dari segi ekonomi kerana ia mempunyai industri minyak dan gas serta sebuah kawasan bebas cukai," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah agar Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti komersil dalam usaha menarik kehadiran pelabur tempatan dan antarabangsa.

"Hanya dengan usaha sebegini Wilayah Persekutuan Putrajaya dapat menjadi sebuah bandar yang termaju dan berdaya saing," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah ucapan dengan mengingatkan para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat agar menjaga maruah diri.

Pada majlis itu, sebanyak 320 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat daripada Seri Paduka dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, mendahului senarai penerima. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan