suria

Anggota Polis Ditahan Bantu Kes Tembak SB

Pasukan forensik melakukan pemeriksaan di lokasi seorang anggota Cawangan Khas mati ditembak di Bukit Persekutuan.
Pasukan forensik melakukan pemeriksaan di lokasi seorang anggota Cawangan Khas mati ditembak di Bukit Persekutuan.
Pasukan forensik melakukan pemeriksaan di lokasi seorang anggota Cawangan Khas mati ditembak di Bukit Persekutuan.

PETALING JAYA: Seorang anggota polis berusia 33 tahun ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang anggota Cawangan Khas (SB) pada petang Selasa.

Suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 malam Selasa di Balai Polis Travers.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Khairi Ahrasa berkata suspek ditahan sebaik sahaja dia melapor diri untuk bertugas di balai polis berkenaan.

"Dia ditahan untuk membantu siasatan.

"Kami masih menyiasat motif pembunuhan kejam itu," katanya kepada The Star pada Rabu.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis sedang dalam proses untuk mendapatkan reman anggota polis yang ditahan itu.

"Kita juga merampas pistol dan beberapa dokumen," katanya kepada pemberita di SMK Wangsa Melawati.

Ditanya mengenai motosikal yang dijumpai berhampiran mangsa, Mohmad berkata ia kepunyaan rakan mangsa.

Tambah beliau mangsa juga tidak membawa senjata ketika insiden berkenaan berlaku.

Sebelum ini dilaporkan seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur, Selasa.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Artikel Sebelum

Artikel Lain