BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah ini meningkat sedikit kepada 2,391 orang setakat 9 pagi Isnin berbanding 2,250 orang petang Ahad, manakala di Tenom keadaan banjir sudah pulih dan semua pusat pemindahan ditutup.
Menurut jurucakap bilik gerakan banjir Beaufort, mangsa yang meliputi 700 keluarga itu ditempatkan di enam pusat pemindahan.
Paras air Sungai Padas pula meningkat kepada 9.20 meter berbanding 9.17 meter semalam iaitu melebihi paras bahaya, kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama.
Pagi Isnin, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah ini. - BERNAMA