KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk melakukan proses pembenihan awan dalam usaha menangani krisis air yang sedang melanda negara ekoran cuaca kering berpanjangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buat masa ini Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang meneliti dan memantau perkara tersebut sebelum langkah berkenaan diambil. "Kita boleh buat pembenihan awan. Tapi ia mesti ada keadaan di mana ada awan hujan, baru boleh kita buat pembenihan awan. Kita bersedia untuk melakukan perkara itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat. Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis air yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini. Ditanya sama ada kerajaan akan mengishtiharkan darurat ekoran situasi itu, Najib berkata buat masa ini krisis air yang melanda negara belum mencecah tahap kritikal. "Masih ada tempoh, kita perlu tengok tahap mana sebelum sampai ke paras kritikal...ada masa lagi. "Bagaimanapun Kabinet akan berbincang mengenai isu ini pada Rabu depan mengenai langkah susulan yang boleh diambil. "Kita akan maklumkan selanjutkan apa kedudukan yang sebenarnya. Bergantung kepada cuaca dalam masa sehari dua ini," katanya.