suria

Joseph Kurup Cadang Kategori 'Bangsa' Dikeluarkan Dari Borang Rasmi

Joseph Kurup

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil langkah utama ke arah mewujudkan satu identiti kebangsaan tunggal dengan mengeluarkan kategori 'bangsa' dari semua borang-borang rasmi di negara ini, kata Tan Sri Joseph Kurup. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata adalah menyedihkan apabila rakyat Malaysia masih dibahagikan dengan identiti kaum dan agama walaupun selepas 50 tahun merdeka. 

"Mungkin sudah tiba masanya kita membuang keperluan untuk menyatakan bangsa kita pada mana-mana borang di negara ini," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Pelancaran Dialog Perpaduan 'Suara Akar Umbi' di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, Sabtu. 

"Tetapi ia terpulang kepada ahli-ahli majlis yang lebih mengetahui untuk mencadangkan ini kepada kerajaan," katanya. 

Joseph juga menekankan tentang perdebatan sejarah negara kerana ia telah ditafsirkan secara berbeza untuk Malaysia Timur dan Malaysia Barat. 

"Satu lagi ironi dalam kenegaraan kita apabila selepas lebih daripada 50 tahun, kita masih membahaskan persoalan tentang asas sejarah. 

"Bagi mereka di Semananjung, sejarah bermula dari Tanah Melayu ke Malaya dan kemudian Malaysia. 

"Sementara itu, bagi Malaysia Timur, ia adalah dari Sabah atau Sarawak kemudian ke Malaysia. 

"Jadi yang mana lebih penting, 31 Ogos atau 16 September?" soal beliau. 

Joseph yang juga menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan negara, berkata isu itu timbul apabila rakyat Malaysia mula melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia, bukan mendasarkan identiti mereka pada bangsa dan agama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain