suria

Mangsa Langgar Lari Meninggal Dunia

Mei Ling.
KUALA LUMPUR: Eksekutif Akaun, Yap Mee Ling meninggal dunia pada Sabtu selepas bertarung nyawa akibat dirempuh oleh sebuah kereta dalam satu kejadian langgar lari pada 14 Februari lalu.

Mei Ling, 48, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama seminggu kerana mengalami kecederaan parah setelah dilanggar ketika melintas jalan di Jalan Sultan Sulaiman pada pukul 6.45 petang 14 Februari.

Sebuah kereta didakwa merempuhnya ketika dia dalam perjalanan ke pejabatnya berhampiran Wisma Tun Sambanthan dari Wisma Pahlawan.

Mei Ling dilaporkan mengalami kecederaan kepala yang teruk dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 11.50 pagi Sabtu.

Rakannya Lee Chee Hoong, 57, yang berkata, Mei Ling merupakan seorang teman yang baik dan pemergiannya akan dirasai.

"Kami bekerja bersama-sama selama 20 tahun dan dia adalah seperti ahli keluarga saya.

"Mee Ling begitu berdedikasi terhadap kerjanya tetapi masih mempunyai masa bersama teman-teman," katanya.

Chee Hong berkata, dia akan terus membantu keluarga Yap mencari saksi walaupun peluang untuk mencari mereka adalah tipis.

"Ia tidak akan mudah tetapi kami tidak akan berputus asa mencari saksi kejadian itu.

"Setakat ini hanya seorang yang tampil dengan maklumat berhubung kejadian," kata Chee Hong kepada The Star.

Saksi, Eric Chan, 25, berkata, dia dalam perjalanan ke kuil apabila dia melihat kenderaan yang dipandu laju merempuh Mei Ling.

"Mee Ling melintas jalan dan berhenti separuh jalan apabila dia nampak kereta datang dari jauh.

"Dia mungkin berhenti di tengah-tengah jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan yang lalu," kata Eric.

Dia menambah bahawa kereta itu dikenal pasti jenis Proton Wira Aeroback, merempuh Mei Ling ketika melalui satu selekoh.

"Pemandu itu berhenti selama dua hingga tiga saat selepas perlanggaran tetapi tidak keluar dari kenderaannya.

"Saya tidak dapat mengecam warna kereta dan nombor pendaftaran kerana keadaan itu masih gelap," jelas Eric.

Dia berkata, ramai penunggang motosikal datang membantu Mei Ling selepas melihat kemalangan itu.

"Saya menghubungi keluarganya pada Khamis selepas melihat beberapa kenyataan mengenai kemalangan itu di Facebook.

"Saya mengikut kakak Mee Ling ke balai polis dan kenyataan saya dirakam," kata Eric.

Mayat mendiang Mei Ling akan dibakar di Taman Memorial Nirvana Memorial di Semenyih pada Isnin.

Keluarga Mei Ling berharap saksi masih boleh tampil ke hadapan dengan maklumat mengenai kemalangan langgar lari dan membantu mereka bagi mengenal pasti pemandu terbabit.
Mei Ling, Langgar Lari, Kemalangan

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan