suria

Tiga Lagi Pengikut Tuhan Harun Berjaya Ditahan

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' Harun Mat Saat, 47, (berkerusi roda) hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan pada 6 Februari lalu atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat iaitu Tuhan Harun atau Tuhan 2013, risalah dan buku berkaitan ajaran tersebut. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Tiga pengikut Tuhan Harun ditahan di sebuah apartment di Papar, Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pegawai penguatkuasa agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek yang mati ditembak di Kuantan.

Ketiga-tiga suspek yang menyembunyikan diri selepas kes pembunuhan pada 10 November tahun lalu, ditahan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat di Melinsung Summer Bay Resort Apartment, 40km dari Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata dua suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam insiden itu.

"Kedua-dua suspek berusia 36 dan 27 tahun masing-masing berasal dari Johor Baru dan Kluang dipercayai terlibat dalam kes itu.

"Siasatan mendapati lelaki berusia 36 tahun itu merupakan pemandu yang berjaya melarikan diri selepas insiden itu," katanya ketika dihubungi.

Hadi berkata, suspek ketiga berusia 33 tahun dari Bachok, Kelantan tidak terlibat dalam pembunuhan itu tetapi dikenali sebagai orang kuat Tuhan Harun yang dihantar ke Sabah untuk mendapatkan dana bagi kumpulan itu.

"Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Kuantan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Lain