KAJANG: Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata pihak berkepentingan usah menunding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mengutamakan kepentingan nasional dan rakyat terlebih dahulu untuk mematuhi tarikh operasi yang ditetapkan iaitu pada 2 Mei ini. "Tarikh yang dijanjikan itu ditetapkan oleh mereka sendiri bukan dari kerajaan kerana ia merupakan 'private commercial venture'. Jadi mereka kena bertanggungjawab kalau mereka tidak sehaluan sekalipun. "Saya sebagai menteri bertanggungjawab mahu tarikh yang telah ditangguhkan dahulu, dan telah dijanjikan akan beroperasi pada 2 Mei itu dapat ditunaikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan sempena gotong-royong dan sumbangan bantuan kepada penduduk di Kampung Sri Jambu, Kajang di sini, Ahad. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam akaun twitternya berkaitan pembinaan KLIA2. Hishammuddin dalam pada itu berkata satu persidangan meja bulat bagi membincangkan dasar penerbangan nasional, kepentingan nasional dan hala tuju industri itu diadakan baru-baru ini, dihadiri syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan negara. "Persidangan mengenai keselamatan dan ruang udara ini merupakan sesi perbincangan dan bukannya untuk menuding jari atau melihat siapa salah. Ini adalah platform untuk membincangkan perkara berkaitan dalam memastikan sekurang-kurangnya ada penanda aras untuk melihat agenda nasional itu sebagai perkara paling utama. "Selagi saya berada di kementerian ini, ini cara saya untuk pastikan tiada siapa boleh meletakkan kepentingan sendiri melebihi kepentingan nasional atau orang ramai," katanya.