suria

Pemandu Bas Maut Dalam Kemalangan Di Selayang

Kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta Proton Wira.
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas, Tan Shue Yeng, 44, maut di tempat kejadian apabila bas sekolah yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta Proton Wira dekat Jalan Bukit Idaman, Selayang pada kira-kira pukul 6 pagi Selasa .

Difahamkan, Tan dalam perjalanan dari Selayang Jaya ke Perdana Residence bagi mengambil pelajar di kawasan perumahan itu.

Ketika memasuki satu simpang yang menghala Perdana Residence, basnya melanggar sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Tan dipercayai meninggal dunia kerana mengalami beberapa kecederaan dalaman.

Difahamkan terdapat dua penumpang yang berada di dalam bas ketika kejadian turut mengalami kecederaan.

Pelajar, Bebe Yap Luo Yee, 11, cedera di bahagian dagu manakala anak perempuan Tan, Lee Hui San, 16, cedera di bahagian leher dan bahu.

Suami Tan, Lee Boo Pauo, 46, yang ditemui di Hospital Selayang berkata, isterinya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan sejak menjadi pemandu bas selama 10 tahun.

"Isteri saya menerima kerja ini bagi memastikan anak-anak kami akan sampai ke destinasi mereka dengan selamat.

"Anak-anak kami masih sedih di atas pemergiannya tetapi kami cuba untuk terus cekal," kata Lee, yang turut berharap anak perempuannya itu segera sembuh.

Pemandu Proton Wira, yang dikenal pasti sebagai Mohd Azwan Zulkkafri, 23, merupakan seorang posmen berkata, dia dalam perjalanannya ke tempat kerja di Kepong ketika kemalangan berlaku.

Berikutan kemalangan itu, Mohd Azwan patah di bahagian kaki kanannya.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan laporan itu berhubung kemalangan dna berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.
kemalangan, bas, kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain