suria

Dua Wanita Didakwa Culik Bayi Mungkin Jalani Pemeriksaan Mental

Ooi (kiri) dan Zuzita sedang diiringi polis menuju bilik perbicaraan di mahkamah.

GEORGE TOWN: Dua wanita yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menculik dan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan membuat permohonan penilaian psikiatri.

Peguam Sukhindarpal Singh, yang mewakili wanita-wanita berkenaan di bawah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon mereka menjalani penilaian psikiatri kerana terdapat percanggahan yang diterima daripada mereka.

Kerani Zuzita Ahmad, 44, dan pembantu kedai Ooi Hooi Ling,37, didakwa kerana menculik bayi yang berada di bawah penjagaan neneknya, di sebuah flat di Lorong Lembah Ria 1, Taman Happy Valley di Air Itam kira-kira pukul 3.30 petang, 12 Disember tahun lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa memperdagangkan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi di sebuah surau rumah panjang di Tanjung Tokong sekitar pukul 5 petang hari yang sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 membawa hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun serta denda.

Hakim Sesyen Zulhazmi Abdullah menetapkan 2 April untuk pengurusan kes.

DPP S. Selvaranjini merupakan pendakwaraya bagi kes itu.

Ketika kedua-duanya pertama kali didakwa pada 19 Disember tahun lalu, mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Dilaporkan bahawa bayi tersebut diculik dari rumah neneknya pada 14 Disember apabila dua wanita terbabit, seorang daripadanya dipercayai rakan dan bekas teman serumah neneknya, membawa keluar bayi dari rumahnya atas alasan mahu pergi untuk berjalan-jalan.

Nenek bayi berusia 54 tahun itu membuat laporan polis apabila rakannya dan bayi tidak pulang selepas setengah jam dan tidak dapat dihubungi melalui telefon.

Bayi itu diselamatkan dalam masa 24 jam oleh pihak polis dari sebuah rumah di Balik Pulau berikutan maklumat orang ramai.

culik, bayi, wanita, pulau pinang

Artikel Lain