suria

Kes Bunuh Altantuya: Pengurusan Kes Rayuan Pihak Pendakwa 27 Feb

Altantuya.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini bagi pengurusan kes berhubung rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota unit tindakan khas polis daripada pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendaftar Izuddin Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan peguam J.Kuldeep Kumarmewakili Cif Insp Azilah Hadri, yang turut menyebut kes itu bagi pihak peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar.

Manoj memberitahu pemberita tarikh pendengaran bagi rayuan pihak pendakwa itu masih belum ditetapkan.

Mengenai isu lain, Kuldeep Kumar menyangkal laporan satu portal berita bahawa Sirul Azhar telah menghilangkan diri selepas dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Rayuan.

"Beliau masih ada di sini," katanya.

Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, disabitkan dan dijatuhi hukuman mati pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Kedua-dua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 23 Ogos tahun lepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan sabitan mereka.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman 47 muka surat memutuskan keterangan keadaan dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mengekalkan dapatan dua anggota polis itu bersalah.

Mahkamah menyatakan kesalahan mereka tidak dibuktikan secara kukuh, "dengan itu mahkamah terpaksa memberi faedah kesangsian".

Pihak pendakwa memfailkan petisyen rayuan pada 3 Januari tahun ini, menyenaraikan enam alasan kenapa panel tiga anggota Hakim Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta untuk membenarkan dua anggota polis itu terlepas hukuman mati.

Sementara itu, pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar.

Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak.

altantuya, Shaariibuu

Artikel Lain