KUALA KANGSAR: Seorang peniaga pasar malam pada Rabu mengaku bersalah dan didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melibatkan pemilikan dan pengawalan kayu gaharu. Muhammad Shahemi Shapul Behri, 24, dari Parit Buntar membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Johari Hassan yang turut melucutkan hak kenderaan terbabit dalam kes itu kepada pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, selepas kedua-dua pertuduhan dibaca kepada tertuduh. Tertuduh didakwa memiliki kayu gaharu di dalam van bernombor pendaftaran TAD 5655 tanpa pas pemindah di persimpangan lampu isyarat di Bersia, Gerik pada pukul 8.30 malam, 22 Februari lepas. Peniaga itu dituduh melakukan kesalahan itu mengikut subseksyen 68 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum menurut perenggan 68(4)(a) enakmen yang sama. Muhammad Shahemi turut dituduh memiliki, menjaga atau mengawal kayu gaharu di dalam kenderaan yang sama tanpa membayar royalti, premium, ses atau caj lain di tempat yang sama, pada pukul 4.30 pagi, 20 Februari lepas. Tertuduh tanpa diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 84 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang boleh dihukum menurut subseksyen yang sama. Kedua-dua pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana memiliki kayu gaharu tanpa membayar royalti di samping kayu itu merupakan tanaman yang dihadkan perdagangannya mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa. Mengikut fakta kes, kesalahan Muhammad Shahemi dikesan apabila van yang dipandu tertuduh ditahan pasukan World Wild Fund For Nature, Perbadanan Taman Negeri serta Perhilitan di kawasan berkenaan. Pasukan itu membuat pemeriksaan terhadap van itu dan menemui tujuh bungkusan mengandungi kayu gaharu dan satu plastik berisi kayu gaharu seberat kira-kira 200 kilogram serta beberapa peralatan yang dipercayai untuk mengambil kayu tersebut. Ketika pemeriksaan itu dilakukan tertuduh gagal mengemukakan apa-apa dokumen pemilikan hasil hutan tersebut apabila diminta dan pihak berkuasa kemudiannya merampas serta menyita kenderaan tersebut. Johari turut menetapkan pertuduhan terhadap lima warganegara Vietnam iaitu Nguen Van Hong, Hoang Van Su, Nguyen Van Hai, Hoang Van Quy serta Nguyen Vinh Hoang, yang turut melibatkan kayu gaharu, disebut pada 19 Mac ini bagi mendapatkan jurubahasa memandangkan kesemua mereka tidak memahami bahasa Malaysia atau Inggeris.