suria

Reman Tiga Pengikut Tuhan Harun Dipindah Ke Mahkamah Majistret Kuantan

Tiga pengikut ajaran sesat Tuhan Harun dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi permohonan pindah waran dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abdul Malek pada November tahun lepas di Kuantan, Rabu.-fotoBERNAMA

KUANTAN: Tiga pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun' yang sebelum ini ditahan reman di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lepas, pada Rabu dipindahkan ke Mahkamah Majistret Kuantan.

Majistret Jessica Daimis membenarkan permohonan pindah kes itu oleh polis dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu yang sebelum ini membenarkan perintah tahanan reman ketiga-tiga suspek itu sehingga 1 Mac depan.

Pegawai Penyiasat kes ASP Zukri Muhammad berkata di dalam kamar mahkamah permohonan pindah waran itu dilakukan bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Allahyarham Ahmad Raffli Abdul Malik, November tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 34 hingga 37 tahun itu hadir di mahkamah dengan tangan bergari dan memakai pakaian lokap serta dikawal ketat sepasukan anggota polis berpakaian preman.

Mereka sebelum ini ditahan di sebuah pusat peranginan di Kota Kinabalu, dipercayai bersembunyi di negeri itu, sejak ketua mereka ditangkap.

tuhan harun, kuantan, reman

Artikel Berikut

Artikel Lain